SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) akan mengisytiharkan cuti umum pada 20 November bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, serta 21 November bagi negeri-negeri lain sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan tawaran tambahan di luar manifesto PN terutamanya kepada pengundi luar.

Beliau berkata, ini kerana PN memahami keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin bagi negeri-negeri lain.

“Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PN di sini.

Terdahulu, sebanyak 234 tawaran dikemukakan Perikatan Nasional (PN) yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada PRU kali ini.

Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

Selain itu, mensejahterakan bumiputera, orang asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan wilayah, melestarikan alam sekitar serta memperkasakan belia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, manifesto yang dikemukakan PN malam ini merupakan satu tawaran yang boleh dilaksanakan.

“Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

“Sebagai bukti komitmen PN terhadap pelaksanaan tawaran-tawaran ini, sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung di dalam Tawaran PN BEST.

“Kami juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN,” ujarnya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *