ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Semalam, beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Kedua Bersatu Sabah.
“Hari ini memang kita menyerahkan borang penyertaan, borang keahlian menyertai parti Bersatu.
“Perkara ini dilakukan setelah berbincang dengan pihak akar umbi dan juga ketua-ketua cawangan yang sebelum ini daripada cawangan Parti Warisan Sabah,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Pada 25 Februari lalu, beliau telah mengisytiharkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Tindakan itu mengundang kemarahan dan diselar pucuk pimpinan Warisan yang kemudiannya mengheret perkara itu ke muka pengadilan.
Malah Warisan turut menggesa beliau untuk mengosongkan kerusi DUN diwakilinya kerana didakwa telah menandatangani surat akuan bersumpah ketika penamaan calon pada tahun lalu.