Pasukan sukarelawan saya dalam perjalanan misi kami membuat penghantaran terakhir Bakul Makanan pusingan ketiga pada petang ini apabila terserempak dengan satu insiden kemalangan jalanraya di Taman Kajang Utama. Insiden membabitkan seorang penunggang motosikal terbabas melanggar pembahu jalan dan jatuh tersungkur di atas jalanraya.

Mangsa terbaring tanpa sebarang reaksi atas jalan dan darah pekat mengalir daripada bahagian kepala mangsa bertakung atas jalan. Mereka yang melihat menyangka mangsa berkemungkinan menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ.

Pada detik sebegini, imbauan skil lama saya dalam bidang pertolongan cemas sebagai seorang Sarjan dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Victoria Institution menjelma semula. Walaupun sudah berkarat tetapi masih boleh dimanfaatkan.

Saya memeriksa nadi dipergelangan tangan mangsa. Berdenyut dengan kuat. Maka saya tahu mangsa bukan setakat masih bernyawa malahan punyai peluang besar untuk diselamatkan. Lantas saya arahkan ahli pasukan saya panggil bantuan ambulans segera.

Keduanya saya periksa dan perhatikan keadaan mangsa untuk menilai samada beliau menghadapi sebarang kecederaan patah tulang yang serius. Alhamdulillah, nampaknya tiada kecederaan serius walaupun pada zahir cara kedudukan mangsa jatuh tertiarap nampak menggerunkan.

Mangsa kemudiannya mula sedarkan diri. Saya arahkan pasukan saya angkat dan pindahkan mangsa ke tepi jalan bawah pokok. Ketika itu keadaan tar atas jalan panas berbahang.

Saya cuba bercakap dan mengambil maklumat asas daripada beliau tetapi tiada respon. Maka saya ambil kaedah selidik dan selongkar. Sudah terpaksa dalam keadaan sedemikian. Buka dompetnya. Ada IC biru dan lesen memandu. Warganegara Malaysia. Telefon bimbitnya ada sekuriti, kami tak dapat akses tapi ada panggilan masuk. Rupanya daripada temannya dan langsung kami maklumkan hal keadaannya.

Saya dan ahli pasukan saya terus menemani dan memantau keadaannya hinggalah ambulan tiba. Saya khuatir mangsa menghadapi kecederaan ‘concussions’ akibat terhantuk kuat ke atas jalan. Mudah-mudahan tiada kecederaan serius dikepala atau kecederaan dalaman dan mangsa lekas sembuh.

Selepas itu kami ke lokasi terakhir Cikgu Mala untuk menghantar bekalan Bakul Makanan ke sana. Sesampai sahaja dirumahnya, permintaan saya adalah segera disediakan paip air dan sabun pencuci kerana tangan saya melekat kesan darah yang saya perlu basuh berulang kali hingga sebersihnya. Dalam memberikan bantuan, saya perlu juga mengambil langkah berhati-hati menjaga kesihatan diri terutama dalam waktu pandemik ini.

Sekalung penghargaan dan terima kasih saya kepada Madam Elizabeth Vaz dan Cikgu Shamsuddin yang menjadi guru penaung dan pembimbing PBSMVI sewaktu saya di sana dahulu dan kepada para senior yang telah melatih saya. Ilmu yang diajar masih releven dan saya praktikkan sehingga ke hari ini.

Mazwan Johar,
ADN Sungai Ramal.
Khamis, 25.02.2021

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *