Tanpa disangka-sangka, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 24 Februari menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.
Berdasarkan takwim terkini yang dipaparkan di laman web Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 8 Mac ini.
Ini membawa beberapa perspektif kepada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang genap setahun sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2021. Apabila Muhyiddin mengumumkan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu, ramai yang mengkritik sebagai strategi untuk untuk memanjangkan lagi tempoh hayatnya sebagai Perdana Menteri.
Jadi apakah yang boleh kita jangkakan bila sidang Dewan Parlimen dibuka semula? Apakah akan ada satu lagi coup d’etat atau satu lagi langkah ‘pintu belakang’? Jika ini berlaku semasa Covid-19 belum diselesaikan, lihatlah nanti apa rakyat akan berikan.
Persoalan pilihan raya belum lagi, mungkin. Sebab walaupun dibenarkan Dewan Rakyat bersidang, proklamasi darurat masih berkuatkuasa.
Antara isu negara yang perlu dirungkai oleh pentadbiran Muhyiddin sebelum ditanya bertubi-tubi di Parlimen ialah
Pengangguran
Pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020, demikian menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pekerja Asing
Benar, perdebatan soal hilang kerja dan keperluan pekerja asing sudah zaman berzaman berlaku. Rakyat kita hilang kerja dalam segmen industri perkhidmatan seperti restoran, penerbangan, pelancongan dan banyak lagi.
Serius? Masa Covid-19 ini ketika rakyat kita tiada pekerjaan? Nak bawa masuk lagi pekerja Bangladesh?
Harga petrol
Selama 4 minggu berturut-turut harga minyak meningkat dengan Jumaat lepas RON95 menjadi RM2.05 seliter. Tidak apa, sebab ramai `work from home’. Beli makanan pun ‘from home’.
Tanpa perlu menghuraikan lanjut, semua tahu harga petrol bila naik, akan mendorong benda-benda lain naik sama. Sudahlah perit hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah ada kawasan dikuatkuasakan perintah kuarantin, kini kena tanggung azab kesan harga minyak.
Salah guna kuasa
Jumaat lepas, keluar kenyataan media Kementerian Kewangan bahawa ia telah mencapai persetujuan Kumpulan Ambank untuk membayar balik RM2.83 bilion kepada kerajaan, dana yang berkait dengan isu 1MDB.
Tidak tahulah apa akhiran 1MDB yang telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 ini.
Sekolah
Apakah hanya orang yang ada anak di bangku sekolah dapat menyelami keluh-kesah ibu bapa mengenai dasar persekolahan negara semasa Covid-19 ini?
Apa kesudahan kepada anak-anak kita yang hilang setahun pengajian pada 2020? Apa cerita anak-anak kita yang masuk Tahun Dua, apakah kurikulum Tahun satu diulang atau jalan saja? Ini kita hendak tahu. Tolonglah bagitau.
Walau apapun, mohon sangat pentadbiran Muhyiddin sudi-sudikanlah menjawab persoalan yang dibentangkan di dalam ruangan ini di Dewan Rakyat nanti. Bukan mencabar, bukan menghentam sembrono.
[…] 5 isu besar bakal PANAS di Dewan Rakyat […]