Sekurang-kurangnya 3,000 jururawat meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19, menurut persekutuan kejururawatan global, semalam.

Memetik laporan AFP, angka itu sekali gus memberi amaran ancaman ramai petugas kesihatan trauma disebabkan penularan wabak pandemik itu.

Setahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pertama kali mengesahkan Covid-19 sebagai wabak, Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) mendedahkan keletihan dan tekanan adalah punca jutaan jururawat mempertimbang untuk berhenti kerja.

ICN memberi amaran bahawa selepas pandemik berakhir, jururawat berpengalaman semakin berkurangan bagi menggalas tugas penjagaan biasa di hospital yang tertangguh akibat krisis pandemik berkenaan.

Menurut ICN, angka kematian jururawat akibat wabak itu adalah rangkuman daripada 60 negara dan ia mungkin kiraan kasar daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton, berkata jururawat mengalami ‘trauma besar-besaran’ ketika pandemik, terpaksa bekerja sehingga mereka letih secara fizikal dan mental.

“Mereka mencapai satu tahap di mana mereka sudah lakukan apa yang terdaya,” katanya.

Catton berkata, bilangan jururawat di seluruh dunia ialah seramai 27 juta, kekurangan enam juta apabila pandemik berlaku dan empat juta bakal bersara menjelang 2030.

ICN dalam satu laporan mengatakan, pandemik Covid-19 boleh menyebabkan langkah berhenti kerja beramai-ramai daripada kerjaya itu, seawal pertengahan tahun ini.

Menurut laporan itu lagi, jumlah jururawat global akan berkurangan sehingga hampir 13 juta orang.

“Kita kemungkinan boleh berada dalam situasi meruncing,” katanya sambil menambah ia memerlukan latihan selama tiga hingga empat tahun untuk melahirkan jururawat baharu.

Catton berkata, jururawat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sekali untuk memimpin dunia mendepani pandemik ini.

“Mereka akan berkongsi platform setara dengan pencipta vaksin dalam sejarah Covid-19.

“Namun sebaik sahaja pandemik ini berlalu, jururawat perlu berdepan keperluan jagaan kesihatan yang belum dipenuhi dan senarai menunggu, di samping berdepan kemungkinan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.