KUALA LUMPUR: Tiga maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta melanggar kren berhampiran Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra, Bukit Seputeh, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada jam 3.46 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah digerakkan ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II K Segar, berkata kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga melanggar belakang sebuah kren yang diletakkan di bahu jalan.
“Seorang pemandu lelaki didapati tersepit dalam kereta, manakala dua pekerja keselamatan yang menjaga kren turut cedera akibat dilanggar kereta terbabit.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Katanya, dua pekerja keselamatan yang menjaga kren dan didapati cedera kemudian turut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Artikel⚡BH Online