KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 134 laporan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung penerbitan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didakwa mengandungi fakta berunsur fitnah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tiga kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes terbabit.

Menurutnya, satu kertas siasatan terhadap Tommy dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu membocorkan maklumat dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Pada Rabu, bekas Peguam Cara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis terhadap Tommy yang didakwanya melakukan fitnah menerusi petikan daripada buku terbabit.

Dalam laporannya, beliau mendakwa petikan daripada buku itu merosakkan imej beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang berkhidmat selama 33 tahun.

Turut membuat laporan polis ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis lalu atas dakwaan sama.

Mohamed Apandi berkata, tujuannya membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku tersebut mendapat keadilan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.