Ayam, minyak masak botol dan kereta akan naik harga selepas 30 Jun

1 Julai 2022 nanti bukanlah satu tarikh yang bakal mendatangkan kegembiraan tetapi tarikh itu akan dikenang sebagai tarikh yang menambah bebanan buat rakyat Malaysia.

Ayam misalnya, kerajaan membuat keputusan menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi yang bertujuan untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

Atas alasan itu, ada peniaga menjangkakan skim harga maksimum ayam yang berakhir hujung bulan ini, bakal menyaksikan harga ayam boleh mencecah lebih RM10 sekilogram berbanding harga maksimum runcit ayam bagi Semenanjung Malaysia iaitu RM8.90 sekilogram dan ayam super (dibersihkan dan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada harga RM9.90 sekilogram.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang Rabu turut mengumumkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kilogram (kg), 2kg, 3kg dan 5kg yang dimulakan pada Ogos 2021 bagi membantu rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19 ditamatkan bermula 1 Julai 2022.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak 1 kilogram dalam peket akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan itu adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia.

Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan, kerajaan juga mengambil keputusan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

Pun begitu bagi minyak masak peket, pemerhati meramalkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan walaupun Perdana Menteri memberi jaminan bekalan itu mencukupi.

Sehubungan itu, Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berpandangan kerajaan harus segera mengumumkan mekanisme bagi membantu rakyat terutama yang kurang berkemampuan dalam mendepani kenaikan harga yang hampir pasti tidak dapat dielakkan ini.

“Seharusnya kerajaan segera mengumumkan dan memperincikan mekanisme bantuan sama ada jangka pendek atau jangka panjang agar rakyat tidak semakin terbeban dengan segala macam kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau yang berpendapat salah satu faktor peningkatan harga adalah kebergantungan negara terhadap import makanan, turut mencadangkan kerajaan melihat semula dasar pengeluaran makanan negara terutama sumber protein alternatif selain ayam.

“Sumber protein tanaman seperti kulat misalnya perlu dilihat sebagai alternatif kepada sumber protein haiwan. Kita boleh juga cuba meningkatkan sektor perikanan dan industri akuakultur memandangkan negara mempunyai keadaan semula jadi yang sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, selain derita kenaikan harga yang menanti rakyat menjelang 1 Julai, kerajaan turut memutuskan tiada pelanjutan bagi pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang selepas 30 Jun.

Pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) itu diperkenalkan sejak 15 Jun 2020, bertujuan mengekalkan momentum jualan kenderaan penumpang. Liza Mokhtar SH

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.